Friday, March 26, 2010

Kamu gelabah!

Betul kata mereka! Kamu adalah golongan orang-orang gelabah. Klau disuruh mendiskripsikan golongan kamu, sudah pasti mereka akan kata 'G.G'.

Awalnya saya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, pro-kamu maupun anti-kamu. Seperti biasa, segala ura-ura yang tersebar akan saya cuba pastikan sebaik mungkin kerana saya tidak mahu profesionalisme saya dipengaruhi oleh pengalaman orang-orang lain sebelum saya. Saya memilih untuk mengamati dan melalui sendiri justeru membuat kesimpulan saya sendiri -KAMU GELABAH! (dengan huruf besar yang ditebalkan dan diwarnai merah)

Kenapa golongan kamu menjadi sebegitu rupa? Bukankah kamu seharusnya bersikap lebih tenang dan berbahagia dengan tugas dan kewajipan kamu berbanding golongan lain? Seharusnya, kamu adalah kalangan orang yang paling mulia. Tugas kamu adalah untuk membahagiakan orang lain. Kamu adalah orang yang paling sering diucapkan 'terima kasih'. Ruangan kamu adalah yang paling riuh dengan tangisan kegembiraan. Kamu jarang sekali harus memberikan berita duka kepada penderita dan keluarganya (berbanding golongan lain di bahagian lain).

Kamu adalah golongan yang terlampau berprotokol, dan keterlampauan itu adalah suatu sifat negatif walaupun sebenarnya berprotokol adalah sesuatu perkara yang baik. Kamu ekstrimis!

Kamu membelakangkan perasaan orang lain, kamu menjadi seorang yang tidak berhati perut, sifat perikemanusiaan kamu terhakis, kamu seorang pengecut yang seolah-olah sedang berada di arena perang bersama naga-naga khayalan dan sedang berlari mencari tempat persembunyian. Kamu bersembunyi dibelakang orang lain, satu persatu orang itu dilahap naga khayalan mu. Kamu menghembus nafas lega selagi kamu terselamat. Biarkan orang lain yang menderita.

Kamu menghormati golongan atasan kamu sehingga kamu mendahulukan mereka demi kepentingan kamu daripada kepentingan penderita-penderita yang sememangnya tanggungjawab dan kewajipan kamu.

Kamu takutkan golongan atasan kamu sehingga kamu menjadi pemanipulasi data terhebat.

Kamu rela membuat dirimu dibenci orang sekeliling asal kamu selamat dari ancaman atasan mu.

Segala yang kamu kerjakan adalah dengan niat yang terpesong.

Kamu adalah golongan yang tegar!

Saya disini sebagai pemerhati. Memerhatikan senario yang kamu lakonkan, bagus! Berkesan! Sehingga kadang saya ditarik untuk ikut menjadi pelakon tambahan, atau pelakon pembantu. Apa yang mampu saya lakukan, saya ikut didalam senario kamu (kerana saya berada di lokasi), tetapi sebagai direktor untuk watak saya sendiri. Saya tidak akan ikut melakonkan watak keji kamu semata-mata atas arahan direktor ataupun semata-mata untuk menepati skrip. Kerana saya yakin apa yang terjadi adalah di atas kehendakNya, tidak boleh dimanipulasi lagi. Dia lah direktor yang sebenar.

Walaupun apa yang telah saya lalui adalah cuma sedikit penyeksaan mental berbanding mangsa-mangsa lain, tetapi saya akan tetap berhati-hati untuk menghindari diri saya dari terjebak ke zon kamu. Kerana, Setelah 2 minggu bersama kamu dan 3 malam berjaga bersama kamu, di sini dengan hati yang tekad saya ingin menyatakan kesimpulan saya tentang kamu – KAMU GELABAH!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...